Tuesday, 7 May 2019

RAMADHAN MADRASAH HATI

Alhamdulillah. Berpeluang sekali lagi menikmati madrasah Ramadhan. Ramadhan. Tetap datang walau tidak diundang, akan pergi biarpun dihalang.

Maka persiapan apa yang telah kau lakukan untuk Ramadhan kali ini? Kerana esok belum tentu kamu bernyawa duhai diri.

Solat. Bak kata Allayarham ustaz Hassan din, solat itu umpama akaun. Tidak berguna kebajikan lain jika tidak solat. Apa yang membezakan muslim dan non muslim adalah solat. Jaga kualiti solat. Ingat tahap ketenangan yang kamu mahukan bergantung kepada solatmu.

Puasa. Ramadhan sinonim dengan puasa. Apa erti puasa? Menahan diri daripada melakukan perbuatan yang membatalkan puasa mulai terbit hingga terbenam sang matahari. Puasa melibatkan puasa zahir dan puasa batin. Ramai berjaya puasa zahir. Namun berapa kerat yang berjaya puasa batin. Menahan lidah dari mengumpat dan mencela. Menahan hati daripada sifat-sifat mazmum. Menahan mata daripada melihat perkara yang melalaikan dan merosakkan pahala. Menahan telinga daripada mendengar umpatan dan kejian. Janganlah kempis pahala puasa disebabkan oleh nafsu serakahmu.

Zakat. Fitrah adalah wajib. Harta pula bergantung kepada keinginanmu. Sejauh mana kamu mahu menyucikan hartamu.

Sedekah. Hartamu yang hakiki adalah yang engkau makan dan yang disedekahkan kepada yang memerlukannya. Sedekah juka kunci pintu rezeki. Yakin dengan janji Allah.

Membaca al-Quran. Inilah peluang untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran. Bulan lain kamu begitu sibuk. Maka ambil dan rebutlah peluang mencuri masa dan meluangkannya untuk membaca dan lebih baik lagi mentadabbur al-Quran.

Zikir dan selawat. Hati yang hidup adalah yang sentiasa mengingati kepada Allah dan rasulNya.

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Ya Allah, Tolong aku untuk menyebut nama-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah yang baik untuk-Mu

Ini adalah antara doa yang dianjurkan oleh kekasih Allah.

Semoga Ramadhan kali ini memberi erti baru dalam hidup kita dan berjaya mendidik hati kita ke arah yang lebih baik. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.